fb fb fb fb fb

Myanmar terima penghantaran jet pejuang buatan Rusia

(Jet pejuang Su-30 RusiaAFP)

BANGKOK, 4 November- Tentera Myanmar telah mula menerima penghantaran sekumpulan jet tempur buatan Rusia, kata kumpulan pemantau.

Ia merupakan perkakasan terbaharu yang dihantar dari Moscow ketika pejuang hak asasi manusia menuduh pihak junta menyasarkan orang awam dalam serangan udara.

Ketika berada bawah kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2018, tentera Myanmar membeli enam Sukhoi Su-30 dari Rusia, menurut laporan media negara Rusia.

Data satelit, laporan daripada pengintip penerbangan dan sumber tertutup "kini dengan yakin mengesahkan" kehadiran sekurang-kurangnya satu daripada jet itu di ibu negara Naypyidaw, kata kumpulan pemantau, Myanmar Witness.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada jet itu sedang menjalani latihan atau diterbangkan dalam misi aktif.

Media tempatan sebelum ini melaporkan antara empat hingga enam jet pejuang dilengkapi kerusi berkembar pelbagai peranan telah tiba di negara itu, diiringi jurulatih dan juruteknik Rusia.

Tentera belum mengulas mengenai penjualan atau bilangan jet itu telah berada di Myanmar.

Rusia merupakan pembekal senjata utama dan penyokong junta, yang menyifatkan pencerobohan Moscow di Ukraine sebagai "wajar".

Junta Myanmar sedang bergelut untuk menghancurkan tentangan rakyat selepas ia merampas kuasa tahun lepas.

Kumpulan pejuang etnik, "Pasukan Pertahanan Rakyat" dan kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera melakukan jenayah perang melancarkan serangan udara terhadap orang awam.

Namun pihak junta menafikannya dan medakwa tuduhan itu hanya "khabar angin". -AFP

(Sebuah jet pejuang Rusia terbang di atas persimpangan kereta api yang terbakar di
bandar Shakhtarsk di Donetsk/REUTERS)

Media Baharu