fb fb fb fb fb

Proses damai di Selatan Thai: Barisan Revolusi Melayu Patani tuntut jaminan keselamatan

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menuntut kerajaan Thailand memastikan keselamatan anggotanya yang menyertai rundingan awam ke arah perdamaian kekal di selatan negara itu.

Jurucakap Jabatan Penerangannya, Abdul Karim Khalib, berkata susulan insiden pembunuhan anggot BRN pada September lalu, dibimbangi akan menghakis keyakinan komuniti Islam dan BRN terhadap proses damai yang kini memasuki pusingan ke-enam.

“Pada 27 September 2022, seorang anggota BRN, Zahri Abdullah berusia 42 tahun diculik sekumpulan lelaki di bandar sempadan, Rantau Panjang.

“Mangsa kemudian dibunuh kejam dengan kesan kelar di seluruh badan bertujuan menyukarkan pengecaman identiti. Mayat dibuang ke dalam Sungai Golok dan ditemukan terapung oleh orang ramai pada 29 September,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Oleh itu, BRN mengutuk keras pembunuhan Zahri dan mendesak semua ancaman yang dapat mengganggu proses damai ditangani dengan berkesan oleh Bangkok termasuk menjamin keselamatan perwakilan BRN ke sesi rundingan awam.

“Selain itu, pertubuhan berkenaan turut mengecam sebarang tindakan menyalahi undang-undang ke atas masyarakat Patani seperti pengumpulan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) secara paksa terhadap kanak-kanak dan remaja Patani.

“Semua bentuk penganiayaan melampau ke atas anggota BRN dan masyarakat Patani adalah satu bentuk penghinaan terhadap proses damai yang sedang berjalan sekarang," katanya.

(Jurucakap Jabatan Penerangannya, Abdul Karim Khalib)

Tambah Abdul Karim, BRN dan kerajaan Thailand telah menandatangani perjanjian ke arah pendamaian di Kuala Lumpur untuk bersetuju menyertai rundingan awam ke arah keamanan kekal di selatan.

Pada ketika itu, Leftenan Jeneral Pattanathabutr Paradorn mewakili kerajaan Thailand dan Hassan Taib pula mewakili BRN bagi menandatangani perjanjian tersebut pada 28 Februari 2013.

“Lanjutan inisiatif Kuala Lumpur terhadap keamanan selatan Thailand telah membawa kepada Inisiatif Berlin yang menjadi rujukan kepada BRN dan Bangkok untuk menyambung rundingan keamanan secara rasmi.

“Proses damai diteruskan lagi menerusi kesepakatan terhadap Prinsip-prinsip Am Proses Dialog Damai pada 31 Mac 2020. Prinsip ini memberi pengiktirafan kepada identiti bangsa Melayu Patani dari semua segi yang dikenali sebagai Komuniti Patani,” jelasnya lagi.

Media Baharu