fb fb fb fb fb

Promosi 'Hello Hong Kong' dilancarkan

HONG KONG, 2 Februari- Pemimpin Hong Kong John Lee pada Khamis melancarkan kempen promosi yang akan merangkumi 500,000 penerbangan percuma untuk menarik semula pelawat, perniagaan dan pelabur selepas lebih tiga tahun berdepan COVID-19.

Kempen "Hello Hong Kong" dilancarkan di pusat konvensyen utama bandar itu, bersebelahan dengan pelabuhannya yang terkenal dengan latar belakang slogan dalam pelbagai bahasa termasuk Rusia dan Sepanyol.

Lee berkata kempen itu akan menunjukkan keterbukaan bandar itu menerima kunjungan pelancong dan bertujuan untuk meningkatkan perniagaan serta pelaburan di wilayah pentadbiran khas China.

"Hong Kong kini dihubungkan dengan tanah besar China dan seluruh dunia. Tidak akan ada pengasingan, tiada kuarantin dan tiada sekatan. Nikmati kesibukan bandar dunia Asia," kata Lee.

Pelancaran itu dihadiri oleh pegawai termasuk dari jabatan pelancongan, perdagangan dan penerbangan bandar itu.

Hong Kong sebahagian besarnya ditutup sebagai usaha untuk mengekang penularan COVID-19, dengan kuarantin mandatori sehingga tiga minggu bagi pengunjung yang tiba serta perlu melakukan ujian saringan intensif.

Hong Kong melonggarkan sebahagian besar peraturan COVID-19 pada bulan Disember tetapi pemakaian pelitup separuh muka adalah wajib melainkan bersenam, serta ujian antigen pantas harian untuk pelajar.

Masih terdapat sistem kuota untuk pengembara antara tanah besar dan Hong Kong dan syarat bahawa mereka mesti melakukan ujian COVID. Tiga daripada pusat pemeriksaan sempadan Hong Kong dengan China masih ditutup.

Walaupun terdapat peningkatan jangkitan, China menghapuskan sebahagian besar sekatan COVID-19 pada Disember dan membuka semula sempadannya kepada dunia pada Januari.- REUTERS

(John Lee pada kempen promosi 'Hello Hong Kong')

Media Baharu