LOMBOK, 1 Oktober- Projek pembangunan Litar MotoGP Mandalika di Lombok, Indonesia didakwa menyebabkan pengusiran paksa terhadap puluhan keluarga pribumi Sasak yang masih menuntut pampasan setimpal.
Seorang penduduk, Senum, 47, mendakwa hanya menerima tiga juta rupiah (kira-kira RM930) daripada 10 juta rupiah (RM3,100) yang dijanjikan bagi tanah yang kini menjadi sebahagian litar perlumbaan.
Beliau mendakwa pihak berkuasa menghalau penduduk "seperti anjing dan ayam" sejak jentera berat memasuki kawasan itu pada 2018.
Daripada 124 keluarga asal, hanya 44 keluarga masih tinggal di kawasan itu selepas kehilangan tanah kediaman dan kawasan pertanian.
Seorang lagi penduduk, Sibawahi, 56, mendakwa hampir empat hektar tanahnya dirampas polis dan tentera tanpa bukti sah hak milik kerajaan.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan intimidasi dan penggunaan kekerasan dalam pengusiran terbaharu yang menjejaskan lebih 2,000 orang.
Namun terdapat penduduk menyokong pelaksanaan projek itu, antaranya seorang suri rumah bernama Suman yang menerima kira-kira 15 juta rupiah (RM4,650) bagi perpindahan ke kawasan baharu.
Beliau menyatakan rasa gembira kerana hidup kini lebih tenang tanpa gangguan bunyi perlumbaan dan tekanan daripada pengurusan projek.
Kerajaan Indonesia sebelum ini menegaskan projek berkenaan membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta mampu mempelbagaikan tumpuan pelancongan negara yang sebelum ini hanya tertumpu di Bali.
Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC) juga sebelum ini menyatakan tanah projek berkenaan adalah "bersih dan jelas" serta menegaskan pihaknya menghormati hak komuniti.
Namun penduduk yang masih bertahan menuntut kerajaan membayar pampasan sewajarnya dan memulihkan maruah mereka sebelum meneruskan pembangunan projek pelancongan mega itu. -AFP