fb fb fb fb fb

Dua selamat selepas 48 jam terperangkap runtuhan sekolah di Indonesia

Imej menerusi udara tapak Sekolah Pondok Islam Al-Khoziny yang runtuh pada Isnin/AFP

SIDOARJO, Indonesia, 1 Oktober- Dua mangsa terselamat berjaya dikeluarkan dari runtuhan sebuah sekolah bertingkat di Sidoarjo, Pulau Jawa, hari ini, dua hari selepas bangunan itu rebah secara tiba-tiba semasa pelajar berkumpul untuk solat.

Kanak-kanak lelaki yang terselamat dibawa ke hospital dengan kecederaan di kepala tetapi dilaporkan "dalam keadaan baik", kata Emi Freezer dari Agensi Kebangsaan Mencari dan Menyelamat (BASARNAS).

Setakat ini, empat orang disahkan maut manakala kira-kira 90 lagi dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan, menurut rekod sekolah dan kenyataan jurucakap Agensi Bencana dan Mitigasi Nasional.

Terdapat ibu bapa menangis menunggu berita anak mereka dan menggesa operasi menyelamat dipercepat kerana bimbang mangsa masih hidup selepas terdengar tangisan di bawah runtuhan.

Operasi menyelamat menggunakan terowong bawah tanah dan dron dengan sensor haba untuk mengesan mangsa, manakala gegaran akibat gempa bumi pada semalam turut menjejaskan pencarian.

Bangunan runtuh dipercayai akibat kegagalan tiang asas menampung berat tambahan tingkat empat dan pembinaan yang tidak mengikut piawaian, kata pihak berkuasa.

Beberapa organisasi kebajikan tempatan menyediakan makanan dan minuman untuk keluarga mangsa, manakala pasukan penyelamat terus bekerja berhati-hati kerana risiko tanah runtuh dan struktur bangunan yang rapuh.

Insiden ini menimbulkan kebimbangan meluas mengenai keselamatan bangunan di Indonesia yang sering membenarkan pembinaan separa siap untuk ditambah tingkat kemudian apabila bajet mencukupi.

Terdahulu pada semalam, gempa bumi berskala 6.0 melanda kawasan luar pesisir Pulau Jawa, menurut US Geological Survey (USGS).

Gegaran dirasai di Sidoarjo hingga memaksa penduduk dan pengunjung hotel berlari keluar walaupun pihak berkuasa menegaskan tiada ancaman tsunami. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA