KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan mereka kini berada kurang dari 90 batu nautika dari Gaza dan berlayar dalam zon berisiko tinggi atau zon merah.
Menurut kenyataan rasmi di Instagram, semua peserta kekal tenang dan mematuhi prosedur keselamatan meskipun menghadapi malam penuh taktik ugutan oleh tentera Israel.
"Ancaman itu bukannya menghalang kami, sebaliknya menguatkan tekad kami untuk terus menyampaikan bantuan dan menegakkan solidariti bukan keganasan bersama rakyat Gaza," menurut kenyataan GSF.
Semua peserta dilaporkan selamat dan telah melepasi lokasi di mana kapal Madleen disekat, namun mereka tetap berjaga-jaga sepanjang perjalanan.
Kenyataan itu menegaskan komitmen konvoi untuk menembusi sekatan, menyampaikan bantuan kemanusiaan dan terus menegakkan misi solidariti tanpa keganasan bagi rakyat Gaza.