LAGOS, 1 Oktober- Sekurang-kurangnya 26 orang maut apabila sebuah bot terbalik di Sungai Niger, selatan Nigeria, menurut pihak berkuasa negeri Kogi pada Rabu.
Bot itu membawa peniaga ke pasar di Illushi, negeri Edo, di seberang sungai, kata Pesuruhjaya Maklumat Negeri Kogi, Kingsley Femi Fanwo, dalam kenyataan di X.
"Laporan awal menunjukkan insiden malang ini telah meragut nyawa tidak kurang 26 penumpang," katanya.
Agensi penyelamat kebangsaan Nigeria (NEMA) memberitahu AFP bahawa pasukan telah dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Kemalangan bot kerap berlaku di sungai-sungai sibuk Nigeria, biasanya akibat bot terlalu sesak, penyelenggaraan lemah atau gagal mematuhi peraturan keselamatan.
Negeri Kogi terutamanya terdedah kepada banjir semasa musim hujan yang biasanya berlangsung dari Mac hingga November dengan beberapa komuniti tepi sungai turut terjejas.
Kawasan Ibaji, tempat peniaga berlepas dalam kejadian kali ini, adalah hab pengeluaran beras bagi rantau itu.
Hujan lebat menyebabkan sungai melimpah, menjadikan pergerakan bot sangat berbahaya. Tahun lalu, banjir memaksa kira-kira 76,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing. -AFP