ADDIS ABABA, 1 Oktober- Sekurang-kurangnya 22 orang maut manakala 55 lagi cedera apabila perancah sementara di sebuah gereja runtuh semasa perayaan tahunan Perawan Maria, menurut media kerajaan Ethiopia.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.45 pagi tadi waktu tempatan di bandar Arerti, kira-kira 70 kilometer timur ibu negara Addis Ababa, ketika sekumpulan pengunjung sedang mengunjungi gereja itu.
"Ramai pengunjung maut atau mengalami kecederaan fizikal," kata pegawai tempatan Atnafu Abate kepada Ethiopian Broadcasting Corporation (EBC).
Beberapa mangsa yang cedera parah telah dibawa ke hospital di ibu negara, manakala sebahagian lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan, menurut pegawai itu, tanpa maklumat lanjut mengenai usaha menyelamat.
Gambar yang dikongsi di laman Facebook rasmi EBC menunjukkan runtuhan perancah kayu dengan orang ramai berkumpul di tengah-tengah serpihan.
Imej lain menunjukkan bahagian luar gereja di mana perancah dibina secara goyah dan tidak kukuh.
Peraturan keselamatan dan kesihatan di Ethiopia, negara kedua paling ramai penduduk di Afrika, hampir tidak wujud, menyebabkan kemalangan pembinaan sering berlaku.
Ethiopia, antara negara Kristian tertua di dunia, terdiri daripada 80 kumpulan etnik dengan agama Kristian diisytiharkan sebagai agama rasmi sejak zaman Empayar Axum pada abad keempat.-AFP