WASHINGTON, 20 Disember- Seorang pegawai kanan White House pada Khamis mendedahkan bahawa Pakistan, yang memiliki senjata nuklear, sedang membangunkan keupayaan peluru berpandu balistik jarak jauh yang membolehkannya menyerang sasaran jauh di luar Asia Selatan, menjadikannya satu "ancaman yang semakin meningkat" kepada Amerika Syarikat.
Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jon Finer, membuat pendedahan mengejutkan tersebut selain menekankan hubungan yang renggang antara Washington dan Islamabad sejak pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada 2021.
Kenyataan itu turut menimbulkan persoalan sama ada Pakistan telah mengubah matlamat program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya, yang sebelum ini difokuskan untuk mengimbangi ancaman daripada India, pesaingnya dalam tiga peperangan utama sejak 1947.
Bercakap kepada Carnegie Endowment for International Peace, Finer menyatakan bahawa Pakistan sedang berusaha mencipta teknologi peluru berpandu yang semakin canggih iaitu daripada sistem peluru berpandu balistik jarak jauh hingga peralatan yang membolehkan ujian roket yang lebih besar secara signifikan.
Jika trend ini berterusan, menurut Finer, Pakistan akan memiliki kemampuan untuk menyerang sasaran jauh di luar Asia Selatan, termasuk Amerika Syarikat.
Jumlah negara bersenjata nuklear dengan peluru berpandu yang mampu mencapai tanah besar AS "sangat kecil dan kebanyakannya bersifat musuh tambahnya, merujuk kepada Rusia, Korea Utara, dan China.
"Oleh itu, secara jujurnya, sukar untuk melihat tindakan Pakistan sebagai sesuatu selain daripada ancaman yang semakin meningkat kepada Amerika Syarikat," kata Finer.
Kenyataan Finer dibuat sehari selepas Washington mengumumkan pusingan baharu sekatan berkaitan program pembangunan peluru berpandu balistik Pakistan, termasuk buat pertama kali terhadap agensi pertahanan kerajaan yang mengawasi program tersebut.
Dua pegawai kanan pentadbiran AS yang enggan dinamakan berkata kebimbangan terhadap program peluru berpandu Pakistan sudah lama wujud, terutama berkaitan saiz enjin roket yang sedang dibangunkan.
Ancaman kepada Amerika Syarikat dijangka hanya muncul dalam tempoh sedekad, kata salah seorang pegawai.
Pegawai AS telah beberapa kali mengemukakan kebimbangan ini kepada pegawai tertinggi Pakistan, namun tidak mendapat maklum balas yang memuaskan.
"Pakistan menuduh kami bersikap berat sebelah dan mengatakan sekatan terhadap Pakistan bertujuan untuk menghalang kemampuan mereka mempertahankan diri daripada India," kata salah seorang pegawai.
Terdahulu, hubungan AS-Pakistan telah mengalami turun naik yang signifikan, termasuk kerjasama rapat semasa era Perang Dingin dan sokongan kepada pejuang Afghanistan menentang pendudukan Soviet (1979-1989).
Namun, hubungan tersebut turut dicemari oleh rampasan kuasa tentera Pakistan, sokongannya terhadap pemerintahan Taliban (1996-2001), dan program senjata nuklearnya.
Pakistan, yang menjalankan ujian senjata nuklear pertamanya pada 1998, kini mempunyai kira-kira 170 kepala peledak nuklear, menurut penyelidikan dari 'Bulletin of the American Scientists'.-AFP.