SYDNEY, 20 Disember – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan pembiayaan sebanyak AS$190 juta bagi menyokong pengembangan pasukan polis di Kepulauan Solomon.
Langkah itu bertujuan membantu negara Kepulauan Pasifik itu mengurangkan kebergantungan terhadap rakan luaran secara berperingkat.
Menurut Albanese, perjanjian pembiayaan tersebut membuktikan bahawa Australia adalah "rakan keselamatan pilihan" bagi Kepulauan Solomon, sekali gus memperkukuh keselamatan serantau.
Sejak 2022, Kepulauan Solomon menjadi tuan rumah kepada kehadiran kecil polis China selepas Perdana Menteri pro-Beijing, Manasseh Sogavare, menandatangani perjanjian keselamatan dengan Beijing, yang menimbulkan kebimbangan di Canberra dan Washington.
Sebelum ini, polis Australia memberikan bantuan keselamatan berikutan rusuhan anti-kerajaan pada 2021 di Honiara.
Perdana Menteri baharu, Jeremiah Manele, yang dilantik pada Mei lalu, telah menyatakan bahawa kerajaannya akan menyemak semula hubungan kepolisan dengan pihak luar.
Dalam kenyataan bersama dengan Manele, Albanese menegaskan bahawa Australia akan menyediakan dana, latihan, dan infrastruktur untuk membantu Kepulauan Solomon membina pasukan polis yang lebih kuat dan berdikari.
"Langkah ini merespons keinginan kuat Kepulauan Solomon untuk membina keupayaan keselamatan kedaulatan yang berpanjangan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap rakan luar dari semasa ke semasa," katanya.
Albanese memaklumkan, jumlah AS$190 juta akan disalurkan dalam tempoh empat tahun.
Terdahulu, polis Australia telah berkhidmat di Kepulauan Solomon dari 2003 hingga 2017 atas permintaan kerajaan negara itu selepas berlakunya konflik dalaman.-REUTERS