fb fb fb fb fb

Kadar jenayah berkumpulan di Sweden menurun

Foto REUTERS

STOCKHOLM, 20 Disember - Selepas lebih sedekad bergelut dengan keganasan kumpulan yang membawa kepada peningkatan kadar jenayah bersenjata, polis Sweden kini melaporkan perkembangan positif dengan penurunan statistik jenayah di negara itu.

Penurunan berkenaan dikaitkan dengan pengenalan kuasa baharu seperti pengawasan elektronik yang lebih meluas dan penggunaan kamera pemantauan secara besar-besaran.

Menurut Ketua Jabatan Operasi Kebangsaan Polis Sweden, Johan Olsson sebanyak 100 jenayah berat berjaya digagalkan pada tahun ini, membawa kepada penurunan ketara dalam kes tembakan dan kematian akibat tembakan.

"Ini adalah kali pertama kita melihat trend menurun secara jelas untuk tempoh yang panjang," kata beliau kepada Reuters.

Sweden sebelum ini mencatat kadar kematian akibat tembakan tertinggi di Kesatuan Eropah pada tahun lalu.

Namun, tahun ini, jumlah korban akibat tembakan menurun sebanyak 35% kepada 40 orang, berbanding 63 orang pada 2022, tahun paling buruk dalam sejarah perang geng di Sweden.

Kes tembakan keseluruhan juga menurun kepada 262 kes pada tahun 2024, berbanding 390 kes pada 2022, berdasarkan data polis.

Olsson turut menyatakan bahawa meskipun niat untuk melakukan jenayah masih wujud, polis kini semakin cekap dalam mencegah keganasan serius.

Selain peningkatan kuasa polis, perubahan dalam taktik kumpulan juga memainkan peranan.

Namun, cabaran baharu muncul apabila kumpulan-kumpulan berkenaan kini menggunakan platform media sosial untuk merekrut kanak-kanak seawal usia 11 tahun bagi melaksanakan pembunuhan dan pengeboman.

Polis mendapati bahawa remaja yang kurang berpengalaman lebih mudah ditangkap berbanding mereka yang memberi arahan.

Penambahbaikan kadar penyelesaian kes turut dilihat, di mana 72% kes tembakan maut diselesaikan pada 2023, berbanding hanya 29% pada 2022.

Keadaan ini banyak dibantu oleh peningkatan penggunaan kamera pengawasan dan dron, dengan sasaran 2,500 unit pada tahun ini, lima kali ganda lebih banyak berbanding lima tahun lalu.-REUTERS.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD