fb fb fb fb fb

Serangan terbaharu Rusia di Kiev, ragut satu nyawa

Foto AFP

KIEV, 20 Disember- Seorang individu dilaporkan terkorban pada Jumaat dalam serangan peluru berpandu oleh Rusia di ibu negara Ukraine, Kiev.

Wartawan AFP di lokasi melaporkan kepulan asap tebal kelihatan di beberapa bahagian bandar itu selepas siri letupan berlaku.

"Menurut laporan awal, seorang mangsa disahkan meninggal dunia," kata Ketua Pentadbiran Ketenteraan Kiev, Sergiy Popko menerusi Telegram.

Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan Rusia menggunakan peluru berpandu Kinzhal dan Iskander dalam serangan yang berlaku sekitar pukul 7.00 pagi waktu tempatan.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko, memaklumkan bahawa dua individu telah dimasukkan ke hospital akibat serangan itu.

Serpihan peluru berpandu yang jatuh di empat kawasan menyebabkan beberapa kenderaan dan bangunan terbakar.

"Pasukan kecemasan sedang bertugas di semua lokasi," tambah beliau menerusi Telegram.

Letupan itu berlaku selepas tentera udara Ukraine mengeluarkan amaran awal tentang serangan peluru berpandu balistik yang bakal berlaku.

"Peluru berpandu balistik dari arah utara," tentera udara memberi amaran di Telegram.

Pada Khamis, Presiden Rusia, Vladimir Putin mencadangkan satu "pertarungan teknologi tinggi" di Kiev untuk menguji peluru berpandu balistik hipersonik terbaharu Rusia, Oreshnik, yang didakwa kebal terhadap sistem pertahanan udara.

Selain itu, pihak berkuasa Ukraine turut melaporkan serangan peluru berpandu di bandar pelabuhan Kherson di selatan, yang mengorbankan seorang lagi individu dan mencederakan enam orang.

Beberapa bandar dan pekan lain di Ukraine turut menjadi sasaran serangan tersebut.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM