fb fb fb fb fb

China beri amaran kepada Jerman, henti manipulasi kes pengintipan

Foto Hiasan

BEIJING, 20 Disember- Kerajaan China pada Jumaat memberi amaran kepada Jerman agar tidak menggunakan kes pengintipan sebagai alat manipulasi dan mencemarkan nama baik negara itu.

Kenyataan ditegaskan selepas pihak polis Jerman membuka siasatan ke atas seorang warganegara China berhubung dakwaan pengintipan.

“Kami berharap pihak Jerman akan berhenti menggunakan apa yang disebut sebagai kes pengintipan untuk melakukan manipulasi dan mencemarkan nama baik serta melindungi hak dan kepentingan sah warganegara China di Jerman,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.

Media Jerman melaporkan bahawa seorang lelaki warga China ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum ditangkap oleh polis selepas mengambil gambar di pangkalan tentera laut Kiel-Wik pada 9 Disember lalu.

Pelabuhan di bahagian utara itu menempatkan kemudahan tentera laut Jerman serta limbungan kapal milik gergasi pertahanan Thyssenkrupp, yang membina kapal selam di lokasi tersebut.

China pada Jumaat berkata pihaknya tidak mengetahui kes itu secara khusus.

Namun, Lin menjelaskan bahawa China sentiasa menuntut warganya di luar negara untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan.

Pada awal Oktober, Jerman melaporkan bahawa pihaknya telah menahan seorang wanita warga China yang didakwa mengintip industri pertahanan negara itu ketika bekerja di sebuah syarikat logistik, termasuk di lapangan terbang Leipzig di Jerman timur.

Wanita tersebut dikenali sebagai Yaqi X., didakwa melaporkan kepada seorang lagi suspek ejen Beijing, Jian G., yang kini ditahan.

Jian G. sebelum ini bekerja di pejabat seorang ahli Parlimen Eropah daripada parti sayap kanan Jerman, Maximilian Krah.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM