fb fb fb fb fb

Mangsa kebakaran Bar Crans-Montana dibawa dengan pesawat ambulans udara Switzerland

Foto AFP

SWITZERLAND, 2 Januari -Kakitangan perubatan dan petugas lapangan terbang giat membawa mangsa kebakaran sebuah bar di pusat peranginan ski Switzerland ke dalam pesawat Ambulans Udara Switzerland di Lapangan Terbang Sion, pada Jumaat.

Kebakaran yang berlaku di bar “Le Constellation” itu telah mengorbankan lebih 40 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain ketika sambutan malam Tahun Baharu di resort ski mewah Crans-Montana, di barat daya Switzerland.

Seorang pegawai Switzerland memaklumkan kepada Reuters bahawa semua mayat mangsa yang terkorban telah dikeluarkan dari bar berkenaan.

Polis masih berada di lokasi bagi meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca tragedi tersebut. Pihak berkuasa Switzerland menegaskan kejadian itu disiasat sebagai kebakaran dan bukannya serangan.

Beberapa keterangan daripada mangsa yang terselamat serta rakaman yang tular di media sosial menunjukkan siling di bahagian bawah tanah bar berkenaan mungkin terbakar apabila lilin berkilau digunakan semasa sambutan berada terlalu hampir dengan struktur siling.

Perdana Menteri Switzerland yang juga Presiden baharu negara itu, Guy Parmelin, menyifatkan kejadian tersebut sebagai “antara tragedi paling buruk yang pernah dialami negara ini”.

“Ia merupakan satu bencana dengan skala yang belum pernah berlaku dan amat mengerikan,” katanya sambil mengumumkan bendera akan dikibarkan separuh tiang selama lima hari. - REUTERS

TETITIA YUSOFF