fb fb fb fb fb

Probowo janji 'lebih terbuka' dengan Papua New Guinea

Foto AFP

PORT MORESBY, 21 Ogos- Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto menjanjikan untuk lebih terbuka dan bekerjasama dengan kerajaan Papua New Guinea.

Prabowo berkata demikian semasa melawat Papua New Guinea pada Rabu, mengiktiraf hubungan dengan jirannya meski kadang kala tidak sehaluan.

Indonesia dan Papua New Guinea berkongsi sempadan darat sepanjang 800 kilometer (500 batu) yang telah menjadi punca pelbagai pertikaian selama ini.

Tetapi, beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan kedua-dua negara akhirnya melaksanakan perjanjian keselamatan sempadan yang pernah dianggap mustahil.

"Hakikatnya kami adalah jiran yang sangat rapat. Kami pada dasarnya adalah kembar Siam."

"Kami disatukan dan kami sepatutnya menjadi seperti saudara sebenar," kata Prabowo pada sidang media bersama Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape.

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan berkata negara-negara harus bekerjasama lebih erat dalam bidang seperti pertahanan, pendidikan dan perdagangan.

"Mengikut tradisi Indonesia, kami ingin menyelesaikan semua masalah dengan kompromi dan kerjasama," tambah Prabowo dengan usaha rasmi itu akan bermula pada Oktober.

Papua New Guinea pada awal tahun ini telah meratifikasi perjanjian kerjasama pertahanan yang telah lama diabaikan dengan Indonesia, hampir 14 tahun selepas ia mula dicadangkan.

Perjanjian itu menetapkan syarat untuk kedua-duanya untuk bersama-sama mengawal sempadan yang 'membelah' pulau New Guinea.

Separuh barat pulau itu atau wilayah yang dipanggil Papua, telah berada di bawah kawalan Indonesia sejak awal 1960-an.

Gerakan Papua Merdeka telah melancarkan pemberontakan peringkat rendah dengan tentera Indonesia selama beberapa dekad.

Hutan tebal, laluan berliku di sempadan menyukarkan pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti haram seperti penyeludupan bekalan senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia untuk kedua-dua negara.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM