SEOUL, 11 Februari- Presiden Korea Selatan digantung tugas, Yoon Suk Yeol menyalahkan pembangkang yang disifatkannya sebagai "berniat jahat" atas keputusan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera.
Dalam keterangannya di mahkamah hari ini, beliau mendakwa keengganan ahli pembangkang untuk memberi sokongan atau "berjabat tangan" dengannya menunjukkan niat mereka untuk "memusnahkan" pemerintahannya.
Tindakan Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu telah mencetuskan krisis politik di Korea Selatan apabila beliau menggantung pemerintahan awam dan mengerahkan tentera ke parlimen.
Namun, langkah itu hanya bertahan selama enam jam selepas parlimen yang dikuasai pembangkang menolak pengisytiharan tersebut dan kemudiannya memecat beliau melalui proses pemecatan (impeachment).
Yoon, 64, ditahan pada pertengahan Januari atas dakwaan pemberontakan dan menjadi ketua negara Korea Selatan pertama yang ditangkap ketika masih memegang jawatan.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang mendengar kes bagi menentukan sama ada pemecatannya akan disahkan.
Dalam sesi perbicaraan hari ini yang dijangka menjadi sesi kedua terakhir, Yoon mengadu ahli pembangkang tidak menghormatinya semasa beliau memegang jawatan.
"Walaupun mereka tidak menyukai saya, prinsip asas dalam dialog dan kompromi ialah mendengar ucapan saya dan memberi tepukan selepas pembentangan bajet di parlimen," katanya.
Beliau juga mendakwa ahli pembangkang "tidak masuk ke dewan utama" menyebabkan beliau berucap di hadapan parlimen yang separuh kosong.
Yoon turut menyifatkan tindakan ahli parlimen memalingkan muka serta enggan berjabat tangan dengannya sebagai "isyarat berniat jahat."
Ketika mengisytiharkan undang-undang tentera, Yoon menuduh pembangkang sebagai "elemen anti-negara" yang berniat untuk melakukan pemberontakan.
Beliau mendakwa pengisytiharan itu diperlukan bagi "melindungi ketertiban perlembagaan."
Perbicaraan terakhir dijangka berlangsung pada Khamis sebelum Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan sama ada untuk mengesahkan pemecatan Yoon.
Sekiranya pemecatan itu disahkan, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari.
Perbicaraan Yoon banyak tertumpu kepada persoalan sama ada beliau telah melanggar perlembagaan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera yang secara undang-undang hanya boleh digunakan dalam keadaan darurat nasional atau peperangan.
Beliau sebelum ini mendakwa sekalipun jika beliau telah mengarahkan penahanan ahli parlimen bagi menghalang mereka daripada menolak pengisytiharannya, ia tidak seharusnya dianggap kesalahan kerana arahan itu tidak dilaksanakan.
Selain kes pemecatan, Yoon juga berdepan perbicaraan jenayah atas dakwaan pemberontakan yang boleh membawa hukuman penjara atau hukuman mati. -AFP