RIO DE JANEIRO, 4 Ogos – Penyokong bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berhimpun di beberapa bandar utama Brazil pada Ahad bagi membantah tindakan Hakim Mahkamah Persekutuan Tertinggi (STF), Alexandre de Moraes serta Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
Penunjuk perasaan berkenaan turut menuntut pengampunan kepada individu yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa yang berlaku beberapa hari selepas Lula mengangkat sumpah sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023.
Walaupun Bolsonaro tidak hadir secara fizikal dalam perhimpunan itu, beliau sempat berucap kepada penyokong menerusi panggilan telefon yang dibuat oleh anaknya, Senator Flavio Bolsonaro, ketika protes berlangsung di sini.
Bekas presiden itu kini dikenakan tahanan rumah dan memakai gelang elektronik. Mengikut perintah yang dikeluarkan Hakim Moraes, beliau tidak dibenarkan keluar dari kediamannya pada hujung minggu dan cuti umum.
Pada Mac lalu, panel lima hakim STF sebulat suara memutuskan supaya Bolsonaro dibicarakan atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan Presiden Lula. Jika didapati bersalah dalam perbicaraan yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, beliau berdepan hukuman penjara yang panjang.
Pada Julai, Moraes mengenakan beberapa langkah pencegahan ke atas Bolsonaro selepas mendapati beliau dan seorang lagi anaknya, Eduardo Bolsonaro – ahli parlimen yang kini menetap di Amerika Syarikat – didakwa cuba bekerjasama dengan pihak berkuasa AS untuk campur tangan dalam urusan dalaman Brazil.
Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump minggu lalu mengenakan tarif 50 peratus ke atas kebanyakan barangan import dari Brazil, dengan alasan berlakunya "tindakan keras" terhadap Bolsonaro.
Sekatan kewangan turut dikenakan terhadap Moraes mengikut Akta Magnitsky – undang-undang yang membenarkan AS mengenakan sekatan ekonomi ke atas warga asing yang terlibat dalam rasuah atau pelanggaran hak asasi manusia.
Moraes juga merupakan hakim penyiasat dalam kes perbicaraan Bolsonaro.
Dalam tunjuk perasaan Ahad itu, penyokong Bolsonaro melaungkan perkataan “Magnitsky” selain menghina Moraes dan Lula. Bendera Amerika Syarikat serta sepanduk menyokong Trump turut kelihatan di lokasi protes.- REUTERS