GAZA, 4 Ogos – Puluhan penduduk Palestin cedera selepas bergelut mendapatkan bantuan makanan di kawasan Zikim, utara Gaza, semalam.
Kejadian itu berlaku apabila trak bantuan kemanusiaan tiba di kawasan tersebut, menyebabkan ratusan penduduk yang kelaparan berpusu-pusu bagi mendapatkan bekalan asas seperti tepung gandum.
Rakaman di lokasi memaparkan orang awam terbaring cedera, sebahagiannya dibantu oleh penduduk lain dengan rawatan awal.
Manakala yang lain dilihat mengangkat dan mengusung beg-beg tepung ke kawasan perlindungan.
Seorang penduduk, Mohammed Abu Thariya, menggambarkan betapa terdesaknya mereka untuk mendapatkan makanan demi anak-anak.
“Selama dua bulan setengah, anak perempuan saya setiap pagi tanya, ‘ayah, saya nak makan...'
"Hari ini saya pertaruhkan nyawa hanya untuk dapatkan makanan buat anak-anak saya. Kami berdepan kematian di sini, dan tiada siapa pun yang rasa penderitaan kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mahmoud Al-Zaza turut berkongsi pengalaman getirnya semalam:
“Apa yang berlaku membuktikan bahawa tiada apa yang mudah di Gaza. Kamu perlu pertaruhkan nyawa hanya untuk sesuap roti.
"Saya pertaruhkan hidup hanya untuk sebungkus tepung. Hidup di sini tak semudah yang disangka,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 70 penduduk Gaza terbunuh sejak Ahad, termasuk 37 individu yang sedang beratur mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Puluhan lagi dilaporkan cedera akibat situasi tidak terkawal yang berlaku di beberapa lokasi edaran bantuan.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing sejak pada 7 Oktober 2023.
Sehingga kini, pihak berkuasa Palestin merekodkan lebih 60,839 kematian dan 149,588 kecederaan dalam kalangan penduduk Gaza. - VIORY