fb fb fb fb fb

Serangan dron Ukraine cetus kebakaran di depoh minyak Sochi

Foto AFP

MOSCOW, 4 Ogos – Dua tangki minyak terbakar di sebuah depoh minyak di Sochi, selatan Rusia, susulan serangan dron yang dipercayai dilancarkan oleh Ukraine, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

Kebakaran yang berlaku pada Sabtu malam itu berjaya dipadamkan tidak lama kemudian. Rakaman video tular menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal menjulang dari kawasan depoh terbabit.

Agensi berita Reuters mengesahkan lokasi kejadian secara bebas dengan memadankan elemen dalam rakaman seperti laluan kereta api, lebuh raya, tiang lampu, cerobong asap dan kawasan kehijauan dengan imej satelit serta arkib.

Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan unit pertahanan udara negara itu telah memusnahkan 93 dron Ukraine dalam tempoh semalaman, termasuk satu di Wilayah Krasnodar dan 60 di perairan Laut Hitam.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan jumlah keseluruhan dron yang dilancarkan oleh Ukraine.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Ukraine berhubung serangan tersebut.

Kiev sebelum ini telah melancarkan beberapa serangan ke atas infrastruktur penting di dalam wilayah Rusia yang disifatkan menyokong usaha perang Moscow.

Pada akhir bulan lalu, seorang wanita terbunuh dalam serangan dron Ukraine di Daerah Adler, Sochi.

Namun, serangan ke atas bandar itu, yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 masih jarang berlaku sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN