fb fb fb fb fb

Wanita, kanak-kanak Gaza paling terjejas dalam krisis kebuluran

Foto Reuters

GAZA, 4 Ogos – Wanita dan kanak-kanak di Gaza dilaporkan menjadi golongan paling terkesan dalam krisis kebuluran yang semakin meruncing, ketika usaha mendapatkan bantuan makanan dilaporkan semakin sukar dan berisiko tinggi.

Penduduk Gaza mendakwa mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa setiap hari untuk mendapatkan bantuan yang terhad, terutama dalam kalangan keluarga tanpa ketua keluarga lelaki dewasa.

Ketiadaan perlindungan fizikal menyebabkan golongan seperti anak-anak yatim dan wanita balu terpaksa keluar sendiri ke kawasan agihan bantuan, yang sering menjadi sasaran tembakan.

Dua wanita – seorang balu dan seorang lagi isteri kepada lelaki lumpuh – berkongsi pengalaman mereka yang berkali-kali mencuba mendapatkan makanan tetapi tetap gagal.

Mereka mendakwa proses pengagihan kini dikuasai oleh pihak tertentu yang menyeleweng bantuan dan menjual semula pada harga tinggi, di luar kemampuan mereka.

“Sistem sekarang hanya menyebelahi yang kuat,” kata salah seorang wanita, sambil menahan sebak. Mereka merayu agar agihan makanan kembali kepada sistem lama, iaitu penghantaran ke gudang bantuan diikuti pemberitahuan melalui mesej teks kepada penerima.

Keadaan turut disaksikan oleh seorang lelaki yang pulang dari pusat bantuan dengan luka tembakan di muka. Walaupun gagal mendapatkan sebarang makanan, beliau tetap bersyukur kerana masih hidup.

Dalam satu rakaman video yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya tujuh mayat dilihat dibawa pulang menaiki kereta keldai dari lokasi agihan bantuan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan enam lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban kini meningkat kepada 175 orang termasuk 93 kanak-kanak.

Agensi kemanusiaan antarabangsa memberi amaran bahawa situasi itu mungkin menandakan permulaan krisis kebuluran besar di wilayah terkepung itu. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN