AKLAN, 11 Februari- Pantai di Pulau Boracay di Filipina yang terkenal dengan keindahan pasir putihnya bertukar hijau akibat pembiakan alga menyebabkan kawasan itu lengang daripada kunjungan pelancong.
Rakaman pada Jumaat lalu menunjukkan air laut yang kebiasaannya jernih kini diliputi lapisan alga hijau pekat, manakala pasir pantai turut terjejas.
Situasi berkenaan berlaku ketika pulau pelancongan popular itu memasuki musim tahunan pembiakan alga.
Seorang pelancong, Romie Sandigan berkata dia cuba mencari kawasan bersih untuk mandi, namun mendapati alga menutupi hampir keseluruhan persisiran pantai.
Pembiakan alga secara berlebihan berlaku apabila kandungan nutrien dalam air meningkat, dipengaruhi faktor seperti suhu laut yang lebih panas.
Walaupun kebanyakan alga tidak berbahaya, sesetengahnya boleh mengeluarkan toksin yang memberi kesan kepada hidupan marin serta manusia.
Pulau Boracay terkenal dengan pantai berpasir putih dan kehidupan malam yang meriah sebelum ini pernah ditutup sementara bagi usaha pemuliharaan alam sekitar.
Pihak berkuasa tempatan terus memantau keadaan bagi memastikan keseimbangan ekosistem serta kelestarian sektor pelancongan. -Reuters