ATHENS, 11 Februari – Gempa bumi berukuran 5.3 magnitud menggegarkan pulau Santorini lewat malam Isnin, menjadikannya gegaran terkuat daripada ribuan gempa kecil yang melanda kawasan itu sejak beberapa minggu lalu.
Ini sekali gus menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan pulau berkenaan.
Gempa dasar laut yang turut dirasai sehingga ke Athens itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan.
Dua jam kemudian, satu lagi gegaran berukuran 5.0 magnitud berlaku di kawasan sama.
Menurut Universiti Athens, hampir 13,000 gegaran direkodkan sejak 26 Januari hingga 8 Februari di sekitar Santorini serta kepulauan Aegean berdekatan, termasuk Amorgos, Ios dan Anafi.
Setakat ini, lebih 11,000 penduduk dan pekerja bermusim telah meninggalkan Santorini yang mempunyai kira-kira 15,500 penduduk.
Susulan situasi itu, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di pulau berkenaan, selain menutup semua sekolah sejak minggu lalu hingga Jumaat ini.
Fenomena seismik luar biasa itu menimbulkan kebimbangan para saintis kerana kawasan itu tidak pernah mencatatkan aktiviti seismik sebesar ini sejak rekod mula direkodkan pada 1964.
Santorini terletak di atas gunung berapi tidak aktif yang kali terakhir meletus pada 1950.
Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, yang melawat Santorini pada Jumaat lalu, berkata aktiviti gunung berapi di kawasan itu adalah perkara biasa dan tidak memberi ancaman kepada penduduk.
Santorini merupakan antara destinasi pelancongan utama Greece yang menerima kira-kira 3.4 juta pelancong sepanjang 2023, termasuk lebih sejuta penumpang kapal persiaran. - AFP