(Foto AFP)
DAMASCUS, 13 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan Presiden Syria, Bashar al-Assad menyatakan hasrat untuk membenarkan lebih banyak akses di sempadan negara, bagi misi bantuan gempa.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Assad menyuarakan kerterbukaan itu dalam pertemuan mereka di Damsyik.
Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan tindakan yang boleh dilaksanakan, susulan gempa bumi dahsyat yang telah mengorbankan lebih 33,000 orang di seluruh Syria dan Turkiye.
"Petang ini saya bertemu dengan Tuan Yang Terutama Presiden Assad, yang menyatakan beliau terbuka untuk mempertimbangkan akses rentas sempadan tambahan untuk kecemasan ini," kata Tedros pada sidang media maya dari ibu negara Syria.
"Krisis konflik yang semakin bertambah, Covid-19, kemerosotan ekonomi dan kini gempa bumi menyebabkan ramai yang terkorban," kata Tedros selepas melawat Aleppo dan menyaksikan sendiri kemusnahan itu.
(Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP)
Menurut Tedros, WHO kini bersiap sedia untuk bergerak melintasi wilayah barat Syria, kawasan paling teruk terjejas.
Katanya, kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut sangat terjejas serta tidak boleh menerima konvoi bantuan dari bahagian yang dikuasai kerajaan di negara itu tanpa kebenaran Damsyik.
Satu-satunya sempadan yang dibuka untuk bantuan ulang-alik dari Turkiye juga menyaksikan operasinya terganggu susulan gempa tersebut.
Sementara itu, beberapa bantuan telah dihantar dan konvoi mula melintasi sempadan pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, keadaan mendesak pembukaan lebih banyak laluan untuk mempercepatkan penghantaran bantuan.
Dalam pada itu, Tedros turut memuji kelulusan menyeluruh baru-baru ini yang diberikan kerajaan Syria kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk penghantaran bantuan ke kawasan tersebut.-AFP