fb fb fb fb fb

Israel serang Selatan Lubnan, langgar gencatan senjata

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 6 November – Ketegangan meningkat di Selatan Lubnan apabila tentera Israel melancarkan siri serangan udara baharu pada Khamis, menyasarkan kawasan kediaman dan kemudahan awam yang didakwa milik Hizbollah.

Tindakan tersebut jelas melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai tahun lalu.

Menurut sumber keselamatan Lubnan, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam serangan itu dan mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur awam di beberapa kampung termasuk Taybeh, Tayr Debba dan Aita al-Jabal.

Serangan itu dilakukan hanya beberapa jam selepas tentera rejim memberi amaran pemindahan kepada penduduk, yang disifatkan sebagai usaha menghalau penduduk Lubnan dari wilayah sendiri.

Hizbollah mengecam keras tindakan Israel yang terus melanggar gencatan senjata, sambil menegaskan hak sah mereka untuk mempertahankan negara daripada pencerobohan.

“Kami berhak mempertahankan diri daripada musuh yang terus menyerang tanah air kami. Kami tidak akan tunduk kepada tekanan asing atau penjajahan baharu,” kata kenyataan pejuang itu.

Sejak November tahun lalu, Israel terus melakukan pelanggaran sempadan dan serangan udara meskipun gencatan senjata dipersetujui di bawah pengawasan PBB, Amerika Syarikat dan Perancis.

Kerajaan Lubnan dijangka bermesyuarat bagi membincangkan rancangan pembangunan semula kawasan selatan dan menilai semula dasar keselamatan, ketika Hizbollah menegaskan komitmen terhadap keamanan, selagi kedaulatan Lubnan tidak diganggu oleh rejim Zionis.- AFP

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN