BEIRUT, 6 November – Pegawai-pegawai Lubnan mengadakan pertemuan dengan wakil organisasi antarabangsa termasuk Bank Dunia, bagi membincangkan pelan awal pembinaan semula pasca perang di selatan negara itu.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada kerosakan teruk akibat serangan Israel yang telah memusnahkan infrastruktur awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara cadangan utama yang dibincangkan termasuk menetapkan garis masa pembinaan semula, pembersihan alam sekitar, sokongan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, serta pembiayaan untuk pihak berkuasa tempatan dan hospital.
Penasihat kepada Presiden Lubnan, Ali Hamieh berkata, bantuan kewangan daripada Bank Dunia akan memberi tumpuan kepada sektor infrastruktur, bukan kepada kediaman persendirian.
“Salah satu cadangan ialah meluluskan mekanisme untuk menentukan dan menyalurkan bantuan bagi unit kediaman dan bukan kediaman yang rosak akibat pencerobohan Israel.
"Pinjaman Bank Dunia berjumlah 250 juta dolar Amerika adalah untuk pembangunan infrastruktur, bukan untuk rumah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lubnan, Hani Kobeissi pula menegaskan, mesyuarat itu turut membawa mesej politik kepada Israel, yang didakwa terus melanggar gencatan senjata dengan menyerang infrastruktur awam.
Mesyuarat itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha pemulihan Lebanon pasca konflik, ketika negara itu berdepan cabaran mengimbangi keperluan pembinaan semula dengan ketidaktentuan politik dan kekangan sumber kewangan.-REUTERS