NYALA, 7 November - Pasukan Separa Tentera Sudan, Rapid Support Forces (RSF) pada Khamis mengumumkan mereka bersetuju dengan cadangan gencatan senjata kemanusiaan yang dikemukakan oleh pihak pengantara.
"Sebagai tindak balas terhadap aspirasi dan kepentingan rakyat Sudan, RSF mengesahkan persetujuan untuk menyertai gencatan senjata kemanusiaan yang dicadangkan oleh Kuad Antarabangsa dianggota Amerika Syarikat, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi,” kata RSF dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat selepas RSF berjaya menawan bandar utama El-Fasher, sekali gus menyingkirkan tentera daripada kubu terakhir di wilayah barat Darfur.
RSF berkata gencatan senjata itu diperlukan bagi menangani impak kemanusiaan yang amat dahsyat akibat peperangan selain bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap orang awam.
Langkah tersebut juga bagi memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan dapat disegerakan.
Terdahulu pada hari sama, ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan berkata pasukannya masih berjuang menewaskan musuh.
"Tidak lama lagi kami akan membalas dendam terhadap mereka yang telah dibunuh dan dianiaya di semua kawasan yang diserang pemberontak," katanya menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen.
Gencatan senjata kemanusiaan yang dicadangkan selama tiga bulan di seluruh Sudan itu bagi membolehkan bantuan kecemasan dihantar segera ke kawasan terkesan.
Pada masa sama usaha akan dijalankan untuk membawa RSF dan tentera ke meja rundingan yang sekali gus menjadi pemangkin ke arah gencata senjata kekal. - AFP