fb fb fb fb fb

Presiden Sri Lanka letak jawatan

(Presiden Gotabaya Rajapaksa/AFP)

COLOMBO, 15 Julai- Speaker Parlimen Sri Lanka, Mahinda Yapa Abeywardana telah menerima surat peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa.

Pengisytiharan rasmi mengenainya menjadikan Rajapaksa ketua negara pertama Sri Lanka meletak jawatan sejak ia menerima pakai jawatan presiden eksekutif pada 1978.

Beliau menghantar e-mel peletakan jawatannya dari Singapura selepas terbang ke negara kota itu dari Maldives.

Pada hujung minggu lalu Rajapaks, melarikan diri setelah penunjuk perasaan menyerbu istana kediamannya.

"Gotabaya telah meletak jawatan secara sah berkuat kuasa Khamis(semalam). Saya telah menerima peletakan jawatan itu." kata Abeywardana.

Bawah perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe secara automatik menjadi pemangku presiden sehingga parlimen boleh memilih ahli parlimen untuk menggantikan Rajapaksa sepanjang penggalnya.

Badan perundangan akan bersidan esok, Abeywardana memberitahu pemberita di kediamannya, sambil menambah beliau berharap dapat menyelesaikan proses pilihan raya "dalam masa tujuh hari".

(FOTO AFP)

Rajapaksa meletak jawatan selepas berhadapan bantahan rakyat selama berbulan-bulan dalam krisis yang disifatkan pengkritik sebagai salah urus ekonomi negara.

Rajapaksa, isterinya Ioma dan dua pengawal peribadi mereka tiba di Singapura dari Maldives menaiki penerbangan syarikat penerbangan Saudia.

Sebagai presiden, Rajapaksa menikmati imuniti daripada penahanan, dan beliau difahamkan ingin ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Kementerian Luar Singapura mengesahkan Rajapaksa telah dibenarkan memasuki negara kota itu untuk "lawatan peribadi", sambil menambah: "Beliau tidak meminta suaka dan juga tidak diberikan sebarang suaka."

Beliau dijangka tinggal di Singapura untuk beberapa waktu, menurut sumber keselamatan Sri Lanka, sebelum berpindah ke Emiriah Arab Bersatu. -AFP

Media Baharu