fb fb fb fb fb

Ivana Trump meninggal dunia

(Foto AFP)

NEW YORK, 15 Julai- Bekas isteri pertama usahawan terkenal dunia, Donald Trump dilaporkan telah meninggal dunia pada semalam.

Ivana Trump, 73 tahun yang juga ibu kepada tiga orang anak itu meninggal dunia di kediamannya di New York, lapor media AFP memetik ciapan Twitter bekas Presiden Amerika Syarikat itu.

Trump walau bagaimanapun tidak memaklumkan punca kematian mendiang namun menurut New York Times, pegawai penguat kuasa undang-undang sedang melakukan siasatan sama ada mendiang terjatuh daripada tangga apartmennya di Manhattan.

Jurucakap Jabatan Polis New York memberitahu AFP dalam satu kenyataan melalui e-mel bahawa pegawai menjawab panggilan di alamatnya di Upper East Side sekitar jam 12:40 tengah hari.

"Sebaik tiba, pegawai memerhatikan seorang wanita berusia 73 tahun tidak sedarkan diri dan tidak bertindak balas. Perkhidmatan Perubatan Kecemasan(EMS) digerakkan ke lokasi dan menyatakan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," kata jurucakap itu.


(FOTO AFP)

Kenyataan itu mengukuhkan lagi bukti bahawa tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti bagaimanapun siasatan tetap diteruskan.

Donald Trump, 76, berkata dalam catatan media sosialnya bahawa Ivana Trump adalah seorang wanita yang hebat, cantik, dan menakjubkan yang menjalani kehidupan yang hebat dan memberi inspirasi.

"Kebanggaan dan kegembiraannya ialah tiga anaknya, Donald Jr., Ivanka dan Eric. Dia sangat bangga dengan mereka, kerana kami semua sangat bangga dengannya. Rest In Peace, Ivana!" tambah Trump pada ciapan Twitternya.

Ivana Trump, dilahirkan di Czechoslovakia dan merupakan seorang model ketika bertemu dengan bekas presiden Amerika Syarikat itu pada 1976.

Rumah tangga pasangan itu mendapat liputan di seluruh dunia termasuk kes perceraian mereka pada 1992.

Ivana juga memainkan peranan utama membangunkan Organisasi Trump dan dilantik naib presiden eksekutif untuk reka bentuk dalaman, fesyen dan produk kecantikan.-AFP

Media Baharu