WASHINGTON, 5 Februari-Presiden AS, Donald Trump pada Selasa memulakan kembali kempen "tekanan maksimum terhadap Iran.
Kempen berkenaan termasuk usaha untuk menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.
Menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump menandatangani memorandum presiden bagi mengenakan semula dasar keras Washington terhadap Iran, yang pernah dilaksanakan sepanjang penggal pertamanya.
Ketika menandatangani memorandum itu, Trump menyifatkannya sebagai keputusan yang sangat tegas dan mengakui bahawa beliau berbelah bahagi untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun, beliau terbuka kepada perjanjian dengan Iran dan bersedia untuk berbincang dengan pemimpin negara itu.
"Dengan saya, ia sangat mudah: Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear," kata Trump.
Terdahulu,Trump menuduh bekas Presiden Joe Biden gagal menguatkuasakan sekatan ke atas eksport minyak Iran dengan tegas, yang menurutnya telah menggalakkan Tehran untuk menjual minyak bagi membiayai program senjata nuklear dan kumpulan bersenjata di Asia Barat.
Menurut ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kepada Reuters pada Disember lalu, Iran sedang mempercepatkan pengayaan uranium sehingga 60% ketulenan, hampir kepada tahap 90% yang diperlukan untuk senjata nuklear.
Namun, Iran menafikan sebarang niat untuk membangunkan senjata nuklear.
Memorandum yang ditandatangani Trump itu mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan AS untuk mengenakan tekanan ekonomi maksimum" terhadap Iran, termasuk sekatan dan mekanisme penguatkuasaan ke atas mana-mana pihak yang melanggar sekatan sedia ada.
Ia juga mengarahkan Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS untuk melaksanakan kempen bagi "menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran.
" Harga minyak AS mengalami penurunan sebelum meningkat semula selepas berita mengenai langkah Trump itu, sekali gus mengimbangi kelemahan akibat ketegangan tarif antara Washington dan Beijing.
Eksport minyak Iran menjana hasil sebanyak AS$53 bilion pada 2023 dan AS$54 bilion pada tahun sebelumnya, menurut anggaran Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.
Pengeluaran minyak Iran pada 2024 kini berada pada paras tertinggi sejak 2018, berdasarkan data OPEC.
Trump pernah membawa eksport minyak Iran hampir ke paras sifar semasa penggal pertamanya selepas mengenakan semula sekatan.
Namun, eksport itu meningkat di bawah pentadbiran Biden apabila Iran berjaya mengelak sekatan tersebut.-REUTERS.