fb fb fb fb fb

Arab Saudi tarik sekatan penggunaan ruang udara

(Joe Biden dan Yair Lapid berbual ketika mereka menandatangani ikrar keselamatan di Hotel Waldorf Astoria di Baitulmaqdis, Israel/REUTERS)

RIYADH, 15 Julai- Arab Saudi mengumumkan penarikan balik sekatan ke atas "semua syarikat penerbangan" menggunakan ruang udaranya, tindakan yang dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai satu isyarat jelas menunjukkan keterbukaan Riyadh terhadap Israel menjelang ketibaan Presiden AS Joe Biden.

Pihak berkuasa penerbangan awam Saudi "mengumumkan keputusan membuka ruang udara kepada semua syarikat penerbangan yang memenuhi syarat", katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Keputusan itu dibuat "untuk melengkapkan usaha Kerajaan yang bertujuan menyatukan kedudukan Arab Saudi sebagai hab global yang menghubungkan tiga benua," katanya.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dalam kenyataannya berkata, keputusan itu adalah hasil diplomasi berterusan dan berprinsip Presiden Biden dengan Arab Saudi selama beberapa bulan.

Beliau berkata Biden yang akan mendarat di Arab Saudi untuk lawatan rasmi hari ini akan mempunyai lebih banyak perkara untuk dikatakan mengenai kejayaan itu.

(Presiden AS Joe Biden/REUTERS)

Sebelum ketibaan Biden di Israel pada permulaan siri lawatannya ke Asia Barat pada hari Rabu, Washington telah membayangkan bahawa lebih banyak negara Arab boleh mengambil langkah untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Kenyataan itu mencetuskan spekulasi sama ada Riyadh akan mengubah dasarnya untuk tidak mewujudkan hubungan dua hala secara rasmi sehingga konflik di Palestin diselesaikan.

Saudi tidak menunjukkan sebarang penentangan apabila sekutu serantaunya, Emiriah Arab Bersatu, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada 2020, diikuti Bahrain dan Morocco bawah Perjanjian Abraham yang ditaja oleh AS.

Namun penganalisis menjangkakan Riyadh tidak mungkin bersetuju dengan hubungan rasmi itu semasa lawatan Biden atau semasa Raja Salman, 86 tahun, masih memerintah.

Biden dijadual menaiki penerbangan terus dari Israel ke Arab Saudi dan menjadi presiden AS pertama berbuat demikian.

Pada 2017, bekas Presiden Donald Trump menaiki penerbangan dari Saudi ke Israel. -AFP

Media Baharu