BELGRADE, 13 September - Presiden Serbia, Aleksandar Vucic menyatakan sokongan terhadap Global Governance Initiative (GGI) yang dicetuskan Presiden China, Xi Jinping, dengan menekankan kepentingannya dalam menghidupkan semula sistem peraturan antarabangsa berasaskan undang-undang, di tengah-tengah ketidaksamarataan dan ketidakstabilan global.
Inisiatif itu dibentangkan Xi pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin minggu lalu.
Dalam temu bual bersama China Media Group (CMG), Vucic menjelaskan tiga sebab utama mengapa negara-negara perlu menyokong GGI, iaitu keperluan memperkukuh wakil negara-negara Selatan Global khususnya di benua Afrika dan Asia; hakikat bahawa norma serta undang-undang antarabangsa yang dicapai sebelum ini semakin terhakis; serta kelemahan dunia dalam membina kelestarian, memerangi perubahan iklim dan memenuhi janji kepada manusia sejagat.
Menurutnya, inisiatif China itu dilihat sebagai penyelesaian asas kepada ketidakstabilan global dan peningkatan konflik.
“Ia mengenai memperbaharui dan menghidupkan semula sistem itu. Ramai sudah lupa betapa pentingnya peraturan serta norma antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua. Disebabkan kelalaian itu, dunia kini berdepan ketidakstabilan dan konflik yang semakin memuncak,” katanya.-REUTERS