PARIS, 6 Oktober –Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan pembentukan kerajaan baharu yang diketuai Perdana Menteri Sebastien Lecornu ketika negara itu terus berdepan krisis politik berpanjangan.
Pengumuman tersebut dibuat hampir sebulan selepas Lecornu dilantik sebagai perdana menteri ketujuh di bawah pentadbiran Macron bagi membentuk Kabinet baharu.
Bekas Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire, kembali ke Kabinet sebagai Menteri Angkatan Tentera, manakala Roland Lescure dilantik menggantikannya sebagai Menteri Ekonomi yang baharu.
Beberapa anggota Kabinet terdahulu kekal memegang portfolio masing-masing, termasuk Jean-Noel Barrot sebagai Menteri Luar, Bruno Retailleau (Menteri Dalam Negeri), Gerald Darmanin (Menteri Kehakiman) dan Rachida Dati (Menteri Kebudayaan).
Perancis kini bergelut dengan ketidaktentuan politik susulan keputusan Macron membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal tahun lalu dalam usaha mengukuhkan penguasaan politiknya.
Dua kerajaan sebelum ini yang diterajui Francois Bayrou dan Michel Barnier tumbang selepas gagal memperoleh sokongan majoriti, termasuk berhubung cadangan bajet penjimatan.
Lecornu dijadual membentangkan agenda kerajaan baharu dalam ucapan dasar kepada Parlimen pada Selasa ini. -AFP