fb fb fb fb fb

Ecuador isytihar darurat susulan protes bantah pemansuhan subsidi bahan api

Gambar Presiden Ecuador Daniel Noboa dibakar di atas sekatan jalan raya ketika protes antikerajaan menyokong mogok nasional anjuran CONAIE di Quito pada 30 September 2025/AFP

QUITO, 6 Oktober- Presiden Ecuador Daniel Noboa pada malam Sabtu mengisytiharkan darurat selama 60 hari di 10 wilayah susulan "ketegangan dalaman serius" akibat protes di seluruh negara mengenai keputusan kerajaan memansuhkan subsidi diesel, lapor Xinhua.

Pejabat presiden dalam satu kenyataan memaklumkan perintah darurat itu bertujuan memelihara ketenteraman awam, keselamatan dalam negeri dan kesejahteraan rakyat.

Di bawah dekri itu, hak untuk berhimpun digantung dan perhimpunan awam diharamkan sekiranya boleh menjejaskan perkhidmatan penting atau mengancam keselamatan awam.

Angkatan tentera dan polis kebangsaan turut diberi kuasa untuk dikerah bagi mengekalkan ketenteraman serta mencegah keganasan.

Pihak berkuasa berkata pengisytiharan itu dibuat berikutan pergolakan dan sekatan jalan yang semakin meningkat di wilayah terlibat.

Terdapat laporan mengenai insiden keganasan termasuk serangan dan penculikan yang menyasarkan anggota keselamatan, kerosakan harta benda serta rampasan kenderaan kargo.

Langkah itu diambil selepas Confederation of Indigenous Nationalities of Ecuador (CONAIE), pertubuhan pribumi terbesar di negara itu menyeru supaya demonstrasi dipertingkatkan yang kini memasuki hari ke-13.

Para penunjuk perasaan menuntut pemansuhan Dekri 126 yang memansuhkan subsidi diesel dan menaikkan harga daripada AS$1.80 kepada AS$2.80 seliter pada 12 September mencetuskan tentangan hebat daripada kesatuan pengangkutan, komuniti penduduk asli, kumpulan buruh serta pelbagai sektor lain. -BERNAMA-XINHUA

SITI AISHAH BINTI MD ISA