fb fb fb fb fb

Aktivis flotila Sepanyol dakwa didera ketika ditahan di Israel

Rafael Borrego, salah seorang aktivis Sepanyol yang terlibat misi flotila ke Gaza tiba di Lapangan Terbang Madrid selepas mereka dibebaskan daripada tahanan Israel / REUTERS

MADRID, 6 Oktober –Aktivis dari Sepanyol yang terbabit dalam misi flotila ke Gaza mendakwa mereka didera oleh pihak berkuasa Israel selepas ditahan ketika misi bantuan itu diserang Zionis

Mereka juga tidak dibenarkan mendapatkan ubat, menghubungi keluarga atau peguam, selain berdepan layanan kasar daripada pegawai keselamatan ketika dipenjarakan.

Seorang aktivis, Rafael Borrego berkata, mereka sering diugut dan dikasari oleh anggota bersenjata ketika dalam tahanan.

“Setiap kali kami memanggil pengawal penjara, tujuh atau lebih anggota bersenjata akan masuk ke dalam sel, menunding senjata ke arah kepala kami, bersama anjing yang sedia menyerang.

Kami diseret di lantai dan kejadian itu berlaku hampir setiap hari,” katanya sambil menunjukkan kesan gari di pergelangan tangannya.

Seorang lagi aktivis, Goretti Sarasibar pula memberitahu, mereka dinafikan makanan sepanjang hari dan dipaksa menonton rakaman serangan 7 Oktober di Israel sebelum dihantar pulang.

“Sebelum dihantar pulang, kami dikumpulkan di sebuah kawasan berpagar dan dipaksa menonton gambar-gambar serangan 7 Oktober.

Sekarang kami sangat gembira, akhirnya dapat makan kerana seharian tidak diberi makanan,” kongsinya.

GORETTI SARASIBARGoretti Sarasibar, Aktivis Sepanyol

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanyol daripada kumpulan Compromís, Juan Bordera, menyifatkan flotila tersebut sebagai usaha penting masyarakat sivil untuk menamatkan sekatan laut Israel terhadap Gaza.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab sebenar terletak pada kerajaan.

“Saya fikir flotila lain perlu dianjurkan, kerana yang ini hanya sampai sejauh yang dibenarkan.

Sepatutnya ini tanggungjawab kerajaan, bukan masyarakat sivil,” katanya.

JUAN BORDERA 
Juan Bordera, Ahli Parlimen Sepanyol

Flotila yang berlayar sejak akhir Ogos lalu itu merupakan usaha terbaru aktivis antarabangsa mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 170 daripada lebih 450 aktivis yang ditahan telah dibawa keluar tahanan Israel. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN