KAHERAH, 13 Oktober – Presiden Palestin, Mahmud Abbas akan menghadiri Sidang Kemuncak Gaza yang dijadual berlangsung di Mesir lewat Isnin ini, menurut Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Sidang kemuncak yang dipengerusikan bersama oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi itu dijangka menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia bagi menandakan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza serta pertukaran antara tebusan Israel dan tahanan Palestin.
Macron berkata, kehadiran Abbas, yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin merupakan perkembangan positif dan tanda pengiktirafan terhadap peranan entiti itu sebagai wakil sah rakyat Palestin.
“Ia adalah satu petanda yang sangat baik… Ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan yang perlu dimainkan oleh Pihak Berkuasa Palestin sebagai entiti yang sah,” katanya.
Menurut Macron lagi, Perancis akan terus menyokong Pihak Berkuasa Palestin dalam aspek tadbir urus serta membantu melaksanakan pembaharuan bagi mempersiapkan pentadbiran pascaperang di wilayah berkenaan. -AFP