SHARM EL-SHEIKH, 13 Oktober – Presiden Perancis, Emmanuel Macron tiba di Mesir bagi menghadiri mesyuarat berhubung pelaksanaan pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menamatkan peperangan di Gaza.
Menurut kenyataan Istana Elysee, pelan tersebut yang dirundingkan bersama oleh Trump dengan kerjasama Qatar, Mesir dan Turkiye, bertujuan mewujudkan gencatan senjata kekal, memastikan pembebasan semua tebusan serta memulihkan sepenuhnya akses bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza.
“Keutamaan ketika ini sudah tentu adalah penyambungan semula operasi kemanusiaan di Gaza dalam beberapa jam akan datang,” kata Macron kepada wartawan ketika tiba di Lapangan Terbang Sharm el-Sheikh.
Macron dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin serantau bagi membincangkan langkah susulan pelaksanaan perjanjian tersebut, termasuk cadangan penubuhan “pasukan penstabilan antarabangsa” yang akan melibatkan Pihak Berkuasa Palestin.
Selain itu, Macron turut dijangka menegaskan semula komitmen Perancis terhadap penyelesaian dua negara sebagai asas utama bagi menjamin keamanan, keselamatan dan pembinaan semula yang berkekalan di rantau berkenaan, menurut kenyataan Istana Elysee. -REUTERS