fb fb fb fb fb

EU sambung semula misi pemantauan sempadan Gaza-Mesir

Kesatuan Eropah (EU) akan memulakan semula misi pemantauan awam di lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir Rabu ini/AFP

BRUSSELS, 13 Oktober – Kesatuan Eropah (EU) akan memulakan semula misi pemantauan awam di lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir Rabu ini, sebagai sokongan kepada perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas berkata misi tersebut akan membantu memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar serta memantau pergerakan di sempadan.

“EU bersedia memainkan peranannya. Misi ini mampu menjadi elemen penting dalam menyokong pelaksanaan gencatan senjata,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Misi pemantauan EUBAM yang ditubuhkan pada 2005 itu digantung dua tahun kemudian selepas Hamas mengambil alih Gaza. Ia akan disertai pegawai keselamatan dari Itali, Sepanyol dan Perancis.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pula menyifatkan sidang kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh sebagai “penanda sejarah penting” dalam usaha menamatkan perang, sambil menegaskan sokongan penuh EU terhadap pelan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, Qatar, Mesir dan Turkiye. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN