ANTANANARIVO, 14 Oktober – Presiden Madagascar, Andry Rajoelina memaklumkan beliau terpaksa berpindah ke lokasi selamat atas faktor keselamatan selepas menerima ancaman terhadap nyawanya susulan siri tunjuk perasaan menuntut peletakan jawatannya.
Dalam perutusan kepada negara yang disiarkan di Facebook pada Isnin, Rajoelina berkata langkah itu diambil selepas menerima amaran mengenai serangan yang bakal berlaku.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi keberadaannya, namun menegaskan tidak akan membiarkan negara itu dimusnahkan.
Menurut sumber tentera kepada Reuters, Rajoelina dilaporkan meninggalkan Madagascar pada Ahad dengan menaiki pesawat tentera Perancis, sehari selepas pasukan tentera tempatan mengisytiharkan sokongan terhadap penunjuk perasaan.
Tunjuk perasaan yang bermula pada 25 September akibat gangguan air dan elektrik berkembang menjadi desakan terhadap rasuah, tadbir urus lemah dan kegagalan kerajaan menyediakan perkhidmatan asas.
Kedudukan Rajoelina semakin terancam apabila unit tentera elit CAPSAT, yang pernah membantunya merampas kuasa pada 2009, enggan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan serta mengumumkan pengambilalihan kawalan tentera.
Rajoelina mendakwa terdapat cubaan rampasan kuasa dan menuduh pihak tertentu memanipulasi tunjuk perasaan tersebut, sambil menyeru dialog bagi mengelakkan krisis politik semakin meruncing. -REUTERS