fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Gaza bukti dunia mampu capai keamanan - Lula

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva/REUTERS

ROM, 14 Oktober – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyambut baik kejayaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, sambil menyifatkannya sebagai “hari penting buat kemanusiaan.”

Berucap pada sesi pembukaan Forum Makanan Sedunia di Rom, Lula berkata perjanjian damai itu memberi sinar baharu kepada rakyat Palestin yang akhirnya dapat “tidur dengan aman.”

“Akhirnya, nampaknya jalan penyelesaian telah ditemui bagi konflik antara Israel dan Palestin. Saya melihat banyak kemungkinan bahawa perjanjian ini akan menjadi muktamad,” katanya.

Lula turut menyeru agar kejayaan itu menjadi asas kepada penyelesaian konflik antarabangsa lain, termasuk perang antara Ukraine dan Rusia.

“Jika dunia mampu menyelesaikan isu Israel dan Palestin, sudah tiba masanya kita mencari jalan damai bagi perang di Ukraine,” ujarnya.

Pemimpin Brazil itu turut menzahirkan harapan agar semua negara bekerjasama mengekalkan keamanan serta membantu menjayakan perjanjian tersebut.

“Mereka yang sebelum ini membantu Israel dalam sikap kerasnya kini perlu membantu mencapai keamanan yang berkekalan,” tegas Lula.

Gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada tengah hari Jumaat, melibatkan pertukaran 1,900 tahanan Palestin dengan 20 tebusan Israel, menandakan fasa terpenting dalam usaha perdamaian yang dimeterai.

Perjanjian itu merupakan sebahagian daripada Pelan Damai Gaza 20 Perkara yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang turut menjamin akses penuh bantuan kemanusiaan ke Gaza serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat. -VIORY

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN