fb fb fb fb fb

Presiden Czech jatuh motor

Presiden Czech Petr Pavel dikenali sebagai seorang yang sangat meminati dunia permotoran

PRAGUE, 24 Mei- Presiden Czech Petr Pavel dimasukkan ke hospital Prague selepas kemalangan motosikal pada Khamis.

Bagaimanapun, kecederaannya dilaporkan tidak serius dan kini dia berada dalam keadaan stabil.

Pejabatnya, menerusi laman X memberitahu, presiden berusia 62 tahun itu, memegang jawatan sejak Mac 2023, akan tinggal di hospital untuk tempoh masa yang tidak ditentukan.

"Kecederaannya tidak serius, tetapi mereka memerlukan pemantauan di Hospital Universiti Tentera Prague," kata pejabat Pavel.

Jurucakapnya Vit Kolar memberitahu TV Czech, ketika ini Pavel memerlukan masa dalam beberapa hari untuk proses pemulihan di hospital.

Hal itu menyebabkan dia tidak dapat menghadiri program-program rasminya.

Kolar menjelaskan, jika Pavel pulih sepenuhnya dalam masa terdekat, maka presiden itu boleh melakukan perjalanan ke luar negara bulan depan.

Pejabat Pavel berkata pada awal Khamis bahawa presiden akan pergi ke Jordan tetapi tidak jelas sama ada perjalanan ini dirancang untuk minggu depan.

Pavel juga dijangka bertemu menteri luar NATO menghadiri mesyuarat tidak rasmi di Prague Khamis depan, menurut sumber diplomatik.

Media Czech berkata presiden itu mengalami kemalangan kendiri di litar perlumbaan tertutup, namun polis tidak menyiasat kemalangan tersebut.

Bekas jeneral NATO, Pavel terkenal dengan minatnya sebagai penunggang motosikal dan kini menunggang BMW R1200 GS.

Dia menunggang motosikal untuk lawatan ke negara jiran Jerman sejurus selepas pelantikannya.

Musim panas lalu, Pavel dikritik hebat selepas media menyiarkan imej dia menunggang motosikal tanpa topi keledar.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE