fb fb fb fb fb

Lagi pembohongan Israel, Asaf Hamami masih hidup - Hamas

Asaf Hamami yang ditawan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu/Reuters

GAZA, 24 Mei- Kumpulan pejuang kemerdekaan Palestin, Hamas membidas pembohongan Israel yang mengisytiharkan komander tertinggi Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Asaf Hamami telah mati dalam tawanan Hamas.

Dalam video disiarkan di platform Telegram, sayap tentera Hamas iaitu Briged Al-Qassam mengumumkan bahawa Hamami yang merupakan Komander Briged Selatan Bahagian Gaza itu masih hidup.

Dia kini sedang tercedera ketika ditahan pihak pejuang pada 7 Oktober 2023.

Mengimbas kembali kenyataan Israel pada 2 Disember 2023 yang mendakwa Hamami dibunuh dan mayatnya berada di tangan Hamas, kumpulan pejuang itu menyelar pentadbiran Israel sengaja membiarkan tenteranya dalam tawanan dan mengisytiharkan mereka mati tanpa usul periksa.

"Apa yang akan terjadi dengan dia (Hamami) sekarang? Masa semakin suntuk, kerajaan anda berbohong," kata pejuang ditujukan kepada warga Israel.

Dianggarkan, kira-kira 128 warga Israel kini ditahan di Gaza, manakala Israel menahan lebih 9,500 rakyat Palestin.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, keluarga tawanan warga Israel mengadakan banyak protes menuntut perjanjian pertukaran dengan Hamas diadakan, serta penamatan perang Israel ke atas Gaza sebagai balasan tebusan.

Bagaimanapun, pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dilihat berkeras tidak menghiraukan kritikan dan bantahan berkenaan.

Israel meneruskan serangan kejamnya di Gaza selama lebih tujuh bulan walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata.

Sekurang-kurangnya 35,800 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 80,200 lagi cedera sejak perang meletus pada Oktober lepas. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA