BOGOTA, 19 Februari- Presiden Colombia, Gustavo Petro, mendakwa dirinya menjadi sasaran komplot untuk menembak jatuh pesawatnya menggunakan peluru berpandu oleh "mafia besar" yang berang dengan usaha kerajaan membanteras kegiatan tidak bermoral mereka.
"Mereka mahu menembak peluru berpandu ke arah pesawat saya... bukan satu, tetapi dua. Kami tahu siapa mereka," katanya dalam satu majlis polis di Bogota pada Isnin.
Menurut Petro, peluru berpandu itu telah dibeli oleh kumpulan pengedar dadah.
"Mengapa mereka mahu menyingkirkan saya dengan cepat? Kerana mereka tahu kita sedang memburu mafia-mafia besar di Colombia," tambahnya, sambil menyebut kumpulan gerila ELN sebagai salah satu ancaman utama.
Kenyataan itu dibuat ketika Petro berdepan kemerosotan sokongan rakyat dan telah meminta barisan kabinetnya meletakkan jawatan atas alasan tidak berkesan. Beberapa menteri telah digantikan sejak itu.
Petro, yang dipilih sebagai presiden pada 2022, berjanji untuk membawa "keamanan total" kepada negara yang telah melalui enam dekad konflik bersenjata antara kumpulan gerila kiri, paramilitari kanan, kartel dadah dan kerajaan.
Bagaimanapun, rundingan damai dengan kumpulan bersenjata sering menemui jalan buntu.
ELN baru-baru ini mengisytiharkan mogok bersenjata di wilayah bergolak Choco di barat laut, menyebabkan pergerakan penduduk terbatas, sekolah ditutup dan perkhidmatan awam terhenti.
Tindakan itu mendorong pihak berkuasa tempatan merayu campur tangan kerajaan pusat.
Di wilayah Catatumbo yang bersempadan dengan Venezuela, ELN bertempur dengan kumpulan serpihan bekas gerila FARC yang sebahagian besarnya telah meletakkan senjata selepas perjanjian damai 2016.
Pertempuran di Catatumbo sejak Januari telah meragut 63 nyawa, termasuk orang awam, serta menyebabkan lebih 50,000 penduduk dipindahkan.
Susulan keganasan itu, Petro mengumumkan penggantungan rundingan damai dengan ELN, kumpulan yang sebelum ini terlibat dalam rundingan yang gagal dengan lima kerajaan terdahulu.
Selain itu, Petro turut menuduh kumpulan serpihan FARC yang dikenali sebagai Central General Staff (EMC) melancarkan serangan menggunakan dron bersenjatakan bahan letupan terhadap hospital khemah di kawasan pedalaman Micay, tenggara negara itu.
Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan dalam serangan tersebut.
"Pengedar dadah EMC di Cauca tidak mahu rakyat Micay mendapat akses kepada penjagaan kesihatan. Mereka menyerang hospital menggunakan dron, satu tindakan yang melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa," tulis Petro di platform media sosial X.