fb fb fb fb fb

Ratusan ikan lumba-lumba terdampar di Tasmania, lebih 50 ekor mati

FOTO AFP

SYDNEY, 19 Februari- Lebih 150 ekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar di sebuah pantai terpencil di Pulau Tasmania, Australia, dengan puluhan daripadanya dilaporkan telah mati, menurut pihak berkuasa alam sekitar pada Rabu.

Kumpulan yang dianggarkan berjumlah 157 ekor itu dipercayai terdampar dalam tempoh 48 jam terakhir, dengan kira-kira 90 ekor masih hidup pada pagi Rabu.

Menurut pegawai hidupan liar negeri, Brendan Clark, usaha menyelamatkan mamalia laut seberat lebih satu tan itu adalah sukar.

“Seperti mana-mana kejadian haiwan terdampar, euthanasia adalah satu pilihan bagi mengurangkan penderitaan. Pasukan veterinar berada di lokasi bagi menilai situasi dan membuat keputusan jika perlu,” katanya.

Fenomena ikan lumba-lumba terdampar di pantai Australia bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun kejadian kali ini merupakan yang pertama di kawasan berkenaan dalam tempoh 50 tahun.

"Ia satu tingkah laku yang jarang berlaku di perairan kami sejak sekian lama," tambah Clark.

Spesies tersebut dikenali sebagai ikan paus palsu (false killer) kerana bentuk tengkoraknya menyerupai orca. Mamalia marin itu boleh membesar sehingga enam meter dan bergerak dalam kumpulan besar yang mencecah lebih 50 ekor.

Jabatan Alam Sekitar Tasmania dalam kenyataannya berkata, operasi menyelamat di lokasi tersebut menghadapi cabaran besar berikutan keadaan laut yang bergelora serta kesukaran untuk membawa masuk peralatan khas ke kawasan terpencil itu.

"Pemeriksaan lebih lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai punca kejadian ini," kata pihak berkuasa.

Paus palsu dikategorikan sebagai spesies ‘hampir terancam’ oleh kerajaan Australia kerana kekurangan data mengenai populasi mereka.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE