ABU DHABI, 15 Mei - Presiden baharu UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron ketika pemimpin dunia masuk ke negara Teluk yang kaya dengan minyak itu untuk memberi penghormatan kepada pendahulunya.
Macron, dalam lawatan asing pertamanya sejak penggal kedua bermula minggu lalu, mengucapkan takziah kepada pemimpin yang digelar "MBZ" berikutan kematian abang tirinya Sheikh Khalifa pada hari Jumaat selepas sakit lama.
Macron, pemimpin Barat pertama yang memberi penghormatan, akan diikuti oleh Perdana Menteri Britain Boris Johnson, Naib Presiden AS Kamala Harris dan Setiausaha Negara Antony Blinken, presiden Israel dan raja Sepanyol, antara senarai panjang orang kenamaan.
Terdahulu, Putera Mahkota Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, dilantik sebagai Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam, sehari selepas kemangkatan Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, 73.
Menurut agensi berita rasmi WAM, pemimpin berusia 61 tahun itu yang melakukan tugas pentadbiran dari belakang tabir berikutan keuzuran abang tirinya sejak 2014, dipilih sebulat suara oleh pemimpin tujuh emiriah di UAE.
Beliau dilantik selepas memimpin solat jenazah dan membantu menguruskan jenazah Sheikh Khalifa yang kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Bateen, Abu Dhabi.
Sheikh Mohamed kini menguasai secara formal negara dengan populasi seramai 10 juta orang itu yang kebanyakannya adalah ekspatriat.
Beliau juga menggantikan Sheikh Khalifa sebagai pemerintah Abu Dhabi yang memiliki 90% kekayaan minyak UAE.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengucapkan tahniah kepada 'rakan lamanya' itu, manakala Presiden Russia, Vladimir Putin turut mengalu-alukan pelantikan beliau.
Pemimpin Syria, Bashar al-Assad, yang melawat UAE pada Mac lalu, mengirimkan penghormatan kepadanya.
Bawah pimpinan Sheikh Mohamed, UAE berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas, menerokai planet Marikh dan membuka reaktor nuklear pertamanya, di samping menggunakan pengaruh sebagai pengeluar minyak utama bagi menggubal dasar luar lebih tegas.
Bersama sekutu rapatnya, Arab Saudi, Sheikh Mohamed muncul sebagai pemimpin dalam pembentukan semula Asia Barat, antara lain menjalinkan hubungan dengan Israel dan menyertai perang menentang pejuang yang disokong Iran di Yaman.
Sheikh Mohamed yang merupakan Putera Mahkota Abu Dhabi sejak November 2004, berpengalaman berkhidmat sebagai timbalan komander angkatan tentera dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi. - AFP