fb fb fb fb fb

Asean setuju iktiraf sijil vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bersetuju dengan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin COVID-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan selamat.

Kenyataan media Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Anak Dagang menyatakan perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 yang berlangsung di Bali, Indonesia.

"Pengiktirafan ini akan dilaksana menggunakan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN atau mekanisme lain yang telah dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ini bertujuan memudahkan urusan pengesahan sijil vaksinasi COVID-19 yang dikeluarkan oleh setiap negara anggota ASEAN.

"Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pembangunan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN itu," katanya.

(Gambar hiasan)

Beliau berkata Malaysia berpandangan bahawa sistem itu yang dilaksana secara sukarela, berpotensi tinggi untuk menyokong negara ASEAN yang belum memiliki sistem verifikasi sijil vaksinasi COVID-19.

Ia penting bagi melancarkan pembukaan sempadan dan seterusnya mempercepat proses pemulihan ASEAN daripada COVID-19.

Tambah Aaron, Malaysia juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan negara ASEAN dalam melaksanakan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin COVID-19 bagi memastikan pembangunan rantau itu yang lebih sihat dan selamat selain menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke AHMM ke-15 yang berlangsung dari 11 Mei hingga semalam dan mesyuarat itu antara lain memfokus kepada pengukuhan daya tahan sistem kesihatan serta pemulihan ASEAN daripada COVID-19.

Media Baharu