fb fb fb fb fb

Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

NEW DELHI, 15 Mei- Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, mendakwa terdapat konspirasi untuk membunuhnya.

Imran berkata, beliau telah merakam video dan mendedahkan nama 'dalang' supaya orang ramai mengetahui siapa didakwa mahu membunuhnya jika rancangan itu berjaya.

"Konspirasi sedang dibuat secara tertutup di dalam dan luar negara. Konspirasinya, mereka mahu mengambil nyawa Imran Khan.

"Saya telah merakam video dan menyimpannya di tempat selamat. Jika sesuatu berlaku pada saya, seluruh negara akan menonton video ini.

"Saya telah menamakan semua yang terbabit dalam konspirasi itu melalui rakaman video," katanya pada perhimpunan besar-besaran anjuran parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) di bandar Sialkot, malam tadi.

(Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. /AFP)

Sebelum ini, polis membubarkan perhimpunannya dan menahan beberapa penyokong, namun Imran meneruskan perhimpunan awam itu di lokasi lain.

Perhimpunan di Sialkot adalah siri terbaharu perhimpunan besar-besaran Imran sejak kerajaan pimpinannya digulingkan melalui usul undi tidak percaya yang diluluskan mahkamah di Parlimen.

Imran mendakwa, pihak lawannya di Pakistan dan negara asing menganggap beliau sebagai 'halangan yang perlu disingkirkan.'

Pada perhimpunan itu, Imran turut menyelar lawannya dan menggesa pilihan raya diadakan segera bagi menamatkan krisis politik negara.

Imran menyeru penyokongnya menunggu hingga akhir bulan ini sebelum berarak ke Islamabad, dan berharap dapat mengumpulkan 2.5 juta orang. -BERNAMA

Media Baharu