JAKARTA, 19 Februari- Hampir seminggu Pilihan raya umum di Indonesia berlalu, rakyat di republik itu masih menanti keputusan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) meskipun kedudukan calon presiden dan calon naib presiden sudah diketahui umum melalui kiraan pantas (quick count).
Pasangan nombor dua (2), Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka (anak sulung Joko Widodo) masih menduduki posisi tertinggi mendahului pesaing dalam pertandingan tiga penjuru itu.
Berdasarkan lembaga survei KedaiKOPI, Prabowo-Gibran memperolehi 59.17 peratus yang dikira sebagai satu putaran.
Calon nombor satu (1) iaitu Anies Baswedan-Muahimin Iskandar pula memperolehi 24.78 peratus dan calon nombor tiga (3), Ganjar Pranowo dan Mahfud MD merekodkan 16.05 peratus.
Penganalisis politik, Hendri Satrio menyifatkan kedudukan Prabowo yang mendahului pesaing lain kerana pengaruh Presiden Joko Widodo yang dilihat masih lagi kuat dalam kalangan rakyat.
Penganalisis politik Lembaga Survei Indonesia, Hendri Satrio
Hendri ketika ditemui RTM berkata, Prabowo dipilih bukan kerana Gibran sebagai anak sulung Jokowi, namun Prabowo sebagai Menteri Pertahanan Indonesia yang memiliki kualiti kepimpinan tersendiri.
“Pengundi itu memang memilih Prabowo bukan kerana Gibran anaknya Jokowi. Kemenangan Prabowo didorong oleh faktor dan peranan yang dimainkan Jokowi. Kalau kita melihat kelompok yang setia (loyalis) dengan Prabowo misalnya dari Parti Gerindra hanya 13 peratus sahaja.
“Jadi, Prabowo memang memerlukan Jokowi untuk menang. Maka peranan Jokowi ini menjadi pusat sokongan dalam kemenangan Prabowo. Bermakna, Jokowi menambah peluang kemenangan kepada Prabowo sehingga mendapat sokongan 46 peratus.
“Kalau setakat imej ‘gemoy’ yang dibawakan oleh Prabowo atau program Bantuan Sosial (Bansol) seperti makan percuma, susu percuma adakah memberi kesan? Memang bantuan itu memberi kesan tapi tidak sebesar daripada peranan Jokowi sebagai Presiden pada ketika ini yang mana Prabowo berpasangan dengan anaknya (Jokowi),” katanya ketika ditemui secara eksklusif di Jakarta.
Prabowo, berusia 72 tahun pernah bertanding selama tiga kali berturut-turut dalam pemilihan presiden Indonesia.
Ketika awal Februari 2024, iaitu menjelang pilihan raya Jokowi mengagihkan bantuan sosial seperti beras 10 kilogram (kg) kepada setiap keluarga dan Bantuan Langsung Tunai (BLT) kepada golongan rentan.
Bantuan seumpama itu telah disalurkan oleh kerajaan Indonesia sejak April 2023 dan inisiatif itu akan memberi manfaat kepada rakyat republik itu hingga Mac 2024.
Tambah Hendri, pilihan rakyat kepada Prabowo-Gibran itu sebagai tanda kebesaran suara demokrasi di negara itu.
“Program Prabowo juga bagus untuk rakyat Indoensia. Jadi saya rasa inilah pilihan rakyat. Tapi pilihan rakyat ini tidak mengorbankan bagi tempoh 5 tahun mendatang. Faktor Gibran memang tidak diambil kira.
“Jadi masyarakat Indonesia lebih mempertimbangkan faktor Jokowi dan Prabowo, seandainya ingin meneruskan pembangunan Jokowi melalui Prabowo, Gibran itu menjadi pelengkap kerana Presiden itu harus ada Naib Presidennya,” jelasnya lagi.
Berdasarkan Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia setakat Mac 2023 tahun lalu, tahap kemiskinan di republik itu menunjukkan penurunan iaitu dengan 9.36 peratus iaitu seramai 95 juta orang daripada lebih 200 juta rakyat Indoesia.
Selain faktor-faktor tersebut, analisis demografi juga dilihat memberi pengaruh kepada calon masing-masing antaranya usia, kepimpinan serta pengalaman dalam mentadbir negara, pendidikan, status sosial ekonomi dan juga memiliki penyokong yang berbeza dari setiap provinsi (wilayah) baik dari segi ibu kota atau di luar bandar.
Berdasarkan kajian pascaundi yang dilakukan oleh Litbang Kompas mendapati, 65.9 peratus memilih Prabowo-Gibran yang mana lebih dari separuh responden anak muda Gen Z iaitu 26 tahun ke atas.
Daripada segi usia, kebanyakan anak muda di Indonesia lebih cenderung memberi sokongan kepada Prabowo yang dilihat sosok ‘gemoy’ atau comel serta bersahaja melalui penampilannya yang suka menari ‘joget-joget’ walaupun sebenarnya Prabowo itu seorang yang sangat berani dan tegas.
Dalam pada itu, beberapa golongan anak muda di Indonesia menilai Gibran memiliki karier politik yang berkembang dengan pantas meskipun usianya baru menjangkau 37 tahun.
“Gibran itu memiliki pengalaman menjadi Wali Kota Solo dan terdiri dari golongan milenial yang berdiri di kaki sendiri,” kata Mal Ciputra sebagai pemandu e-hailing, berusia 38 tahun.
“Apa yang penting, jangan menilai Gibran itu sebagai anak muda tetapi cara beliau bekerja dan pengalamannya juga bagus,” kata Adi Saputra, 30 tahun yang bekerja sendiri.
Calon nombor satu (1) iaitu Anies Baswedan-Muahimin Iskandar/Foto AFP
Sementara sokongan kepada calon Anies-Muahimin terdiri dari golongan warga emas dan juga anak muda yang mahukan perubahan selari manifestonya iaitu Indonesia menjadi negara maju pada tahun 2045 dengan pembangunan manusia, ruang hidup yang lestari, interaksi dan juga institusi.
Bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan pasangannya Mahfud MD memiliki sokongan daripada pelbagai umur.
Visi dan misi Ganjar mahu Indonesia ada peningkatan, kekayaan, kekuatan serta berdaya saing melebihi apa yang dicapai oleh negara lain.
Jika dilihat melalui pendidikan pula, Anies-Muhaimin menjadi pilihan buat mereka yang memiliki pendidikan tinggi, sedangkan Prabowo-Gibran itu lebih diminati oleh mereka yang memiliki pendidikan rendah. Sementara, Ganjar-Mahfud memiliki sokongan dari mereka yang pelbagai tahap pendidikan.
Calon nombor tiga (3), Ganjar Pranowo dan Mahfud MD/Foto AFP
Faktor status sosial-ekonomi di republik itu juga lebih selesa memilih bekas Gabenor Jakarta, Anies yang terdiri dari golongan elit dan di daerah ibu kota.
Sedangkan Prabowo-Gibran lebih diminati buat mereka yang mempunyai pendapatan ekonomi rendah seperti yang tinggal di luar bandar.
Sementara itu, Ganjar-Mahfud mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan sosial ekonomi dari setiap kawasan. Namun impak sokongan itu masih tidak dapat mengalahkan sokongan kepada kedua-dua calon yang bertanding.
Berdasarkan kiraan sebenar yang diterima Komisi Pemilihan Umum (KPU), Prabowo-Gibran mendahului dengan 58.32 peratus setakat 19 Februari pada pukul 10 pagi.
Peratusan itu mewakili 54,760,818 jumlah undi seluruh republik itu yang dipaparkan melalui Hasil Hitung Suara Pemilu Presiden & Wakil Presiden Republik Indonesia 2024 https://pemilu2024.kpu.go.id.
Sementara itu, Anies-Muahimin memperolehi dengan 24.35 peratus atau 22, 867,707 jumlah undi, manakala Ganjar-Mahfud merekodkan seramai 16, 268, 499 jumlah undi bersamaan 17.33 peratus.
Biarpun pengumuman rasmi pemenang Pemilu 2024 akan diketahui dalam tempoh sebulan lagi iaitu pada 20 Mac depan, namun hasil kiraan pantas (quick count) Pemilu 2024 menyaksikan langkah Prabowo semakin mendekati ke Istana Presiden.
GRACE AIYSHAH KEDAYAN wartawan RTM; antara 15 wartawan Malaysia berada di Jakarta, Indonesia bagi menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, sempena Pilihan Raya Presiden (PILPRES) dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia.
ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun nusantara.