TOKYO, 3 Ogos - Jepun merekodkan bulan Julai paling panas untuk tahun ketiga berturut-turut dengan suhu purata 2.89 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras biasa sejak rekod bermula pada 1898, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Banyak kawasan di negara itu juga mencatatkan hujan kurang 10 peratus daripada purata, menyebabkan pertumbuhan padi terjejas teruk.
JMA berkata catatan kali ini memecahkan rekod sebelumnya pada tahun 2024 yang ketika itu lebih tinggi 2.16 darjah Celsius daripada purata. Keadaan tahun ini digambarkan sebagai suhu tinggi luar biasa.
Pada 30 Julai, Tamba, Wilayah Hyogo merekodkan suhu 41.2 darjah Celsius, tertinggi pernah dicatatkan di Jepun. Manakala pada 24 Julai, beberapa kawasan di Hokkaido turut mencatat hampir 40 darjah Celsius.
Selain itu, sebanyak 4,565 lokasi di seluruh Jepun mengalami suhu melebihi 35 darjah Celsius, tertinggi sejak rekod bermula pada 2010.
Purata hujan pada Julai juga kurang separuh daripada paras biasa, dengan kawasan pesisir Laut Jepun di rantau timur laut Tohoku dan rantau tengah Hokuriku mencatat hujan paling sedikit sejak rekod bermula pada 1946 masing-masing hanya 13 peratus dan lapan peratus daripada purata.
Di Wilayah Yamagata, 26 daripada 28 stesen cuaca merekodkan taburan hujan terendah dalam sejarah, manakala bandar Wajima di Wilayah Ishikawa hanya menerima satu peratus daripada purata taburan hujan tahunannya.
Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun melaporkan 33 takungan air yang diuruskan pihak kementerian dan agensi sumber air lain berada di bawah paras normal, dengan masing-masing satu takungan di Iwate dan Miyagi kering sepenuhnya.
Bagi menangani impak suhu tinggi dan kekurangan air, Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun menubuhkan unit khas pada Rabu lalu untuk menyelaras strategi penjimatan air dan langkah tindak balas.
JMA menjangka suhu tinggi berterusan sepanjang Ogos, kecuali di kawasan selatan seperti Okinawa.-REUTERS