fb fb fb fb fb

Puluhan lori bantuan dari Mesir cuba memasuki Gaza

Konvoi bantuan kemanusia termasuk lori yang membawa 107 tan diesel di sempadan Rafah-Mesir/Foto REUTERS

GAZA CITY, 3 Ogos - Puluhan lori yang membawa bantuan kemanusiaan bertolak dari Mesir menuju ke Gaza, selepas sekatan ketat yang dikenakan Israel selama beberapa bulan.

Menurut laporan stesen televisyen Mesir, Al Qahera News, konvoi termasuk dua lori yang membawa 107 tan diesel.

Kekurangan bahan api sebelum ini dilaporkan menyukarkan operasi hospital di wilayah tersebut.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi sama ada lori-lori tersebut berjaya memasuki Gaza.

Beberapa lori bantuan juga dilaporkan melintasi sempadan Rafah, susulan kelonggaran sekatan oleh Israel terhadap wilayah Palestin itu.

Israel sebelum ini mengumumkan penangguhan operasi ketenteraan selama 10 jam sehari di beberapa kawasan Gaza bermula 27 Julai lepas, serta membuka laluan bantuan baru.

Laluan bagi konvoi yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan itu akan beroperasi antara pukul 6.00 pagi hingga 11.00 malam (waktu tempatan) setiap hari.

Pada hari yang sama, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga telah melakukan penghantaran bantuan melalui udara ke wilayah tersebut.

Israel memutuskan penghantaran bantuan ke Gaza sejak awal Mac lalu, kononnya bagi memberi tekanan kepada Hamas supaya membebaskan puluhan tebusan yang masih ditahan. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI