fb fb fb fb fb

Gunung berapi Krasheninnikov meletus selepas 450 tahun

Imej menunjukkan kepulan abu yang menjulang tinggi dari gunung berapi Krasheninnikov, Rusia/Foto AFP

MOSCOW, 3 Ogos - Gunung berapi Krasheninnikov di wilayah timur Kamchatka, Rusia, meletus buat kali pertama dalam tempoh 450 tahun.

Gambar yang disiarkan oleh media rasmi Rusia menunjukkan kepulan abu tebal menjulang tinggi dari gunung tersebut, yang kali terakhir meletus pada tahun 1550.

Menurut Kementerian Situasi Kecemasan Kamchatka, kepulan abu itu dianggarkan mencapai ketinggian 6,000 meter (19,700 kaki) dan sedang bergerak ke arah timur menuju Lautan Pasifik.

“Tiada kawasan berpenduduk di sepanjang laluan abu tersebut, dan tiada kejatuhan abu dilaporkan di kawasan kediaman,” kata kementerian itu menerusi hantaran di Telegram.

Gunung Krasheninnikov kini diklasifikasikan dengan kod bahaya penerbangan “oren”, yang bermaksud terdapat potensi gangguan kepada penerbangan di kawasan berkenaan.

Letusan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Gunung Klyuchevskoy, gunung berapi aktif tertinggi di Eropah dan Asia turut meletus Rabu lalu.

Letusan Klyuchevskoy dianggap biasa, dengan sekurang-kurangnya 18 kejadian direkodkan sejak tahun 2000, menurut Program Vulkanisme Global.

Kedua-dua letusan ini berlaku susulan susulan gempa bumi kuat berukuran 8.8 skala Richter berhampiran Petropavlovsk di Semenanjung Kamchatka pada Rabu lalu, salah satu yang terkuat pernah direkodkan.

Gempa tersebut turut mencetuskan amaran tsunami dan menyebabkan pemindahan berjuta-juta penduduk dari kawasan pantai di Jepun, Hawaii, hingga ke Ecuador. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI